Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami
Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami
Dalam menghadapi cabaran bidang ilmu semasa, suatu perkara yang sangat
penting adalah tentang pemeliharaan dan penguasaan terhadap al-Turath
al-Islami. Kita sering melihat fenomena di mana ramai para ilmuwan yang
mendapat pengajian daripada institusi pengajian Barat sering membawa
pemikiran-pemikiran yang rosak dan bersifat melawan kefahaman muktabar
ajaran Islam yang asas.
Ini kerana, mereka menguasai bidang
pengetahuan terutamanya sainsn moden tanpa memahami ajaran Islam dengan
baik. Lalu, nilai-nilai sekular dalam kebanyakan ilmu-ilmu moden yang
disemai oleh para ilmuwan dan falsafah Barat mula memberi kesan kepada
pemikiran mereka. Bertolak daripada inilah, atas nama ilmu pengetahuan,
golongan ini menyebarkan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan
prinsip murni ajaran Islam yang muktabar.
Antara bentuk kepincangan pemikiran yang cuba diketengahkan oleh golongan ilmuwan sekular ini adalah:
• Sekularisme: Iaitu, pemisahan antara peranan keagamaan daripada perkara-perkara keduniaan.
• Liberalisme: Iaitu, menjadikan akal sebagai suatu ukuran yang bebas
dalam menilai sesuatu tanpa campur tangan penilaian keagamaan.
•
Penafsiran Hermeneutik: Iaitu, agenda penafsiran semula teks-teks wahyu
agar ianya sesuai dengan perkembangan semasa tanpa merai penafsiran
muktabar yang sudah diterima oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Ia
juga ada kaitan dengan penafsiran Kontekstual yang membataskan teks
wahyu kepada sosio-historikalnya, iaitu suasana dan sejarah di mana teks
tersebut diturunkan. Dengan demikian, banyak ajaran Islam cuba dibataskan kepada kesesuaian masa tertentu lalu mengganggap ianya sudah tidak sesuai pada masa kini.
• Menolak Autoriti Institusi Ulama’:
Iaitu, mereka meletakkan diri mereka sebaris dengan para ulama’ termasuk
para ulama’ salaf untuk melayakkan diri mereka berbicara tentang
kefahaman agama dan menafsirkan semula teks-teks agama dalam rangka
ingin menyesuaikan ajaran Islam dengan perkembangan semasa, menurut
sangkaan mereka.
Kepincangan-kepincangan sebegini disebut oleh Dr. Syed Naqib al-Attas sebagai kehilangan adab. Sedangkan, kita wajar menguasai
prinsip-prinsip ajaran Islam yang muktabar sepanjang zaman lalu barulah
menilai perkembangan semasa sesuai dengan neraca keislaman yang jelas. Oleh yang demikian,
Dr. Ali Jum’ah menekankan tentang penguasaan terhadap alat-alat penting
yang diperlukan untuk memahami kaedah berinteraksi dengan al-Mauruth
al-Islami (karya warisan Islam) supaya seseorang ilmuwan Islam tu
menguasai al-Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami ataupun Dr. Syed Naqib
al-Attas menyebutnya sebagai Islamic worldview dalam buku beliau
berjudul Prolegomena to the Metaphysics of Islam.
Maka,
bagaimana berinteraksi dengan al-Turath al-Islami itu sangat penting
bagi membentuk Islamic Worldview (pandangan alam Islami) dalam diri para
ilmuwan Islam, agar sejauhmana sekalipun mereka menguasai sains moden,
mereka akan menguasainya sebagai muslim yang mana Islamic Worldview akan
menjadi penapis intelek terhadap sebarang nilai anti-Islam dalam bidang
ilmu-ilmu moden Barat.
Dr. Ali Jum’ah memberi definisi
terhadap al-Turath al-Islami (Islamic Legacy) sebagai: produk atau karya
kemanusiaan (al-Muntaj al-Basyari) yang diwarisi secara lisan mahupun
secara tulisan, bagi umat Islam yang berusia lebih seratus tahun.
[Al-Thariq ila Al-Turath al-Islami, m/s: 19]
Para ilmuwan Islam
mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap al-Turath al-Islami ini,
terutamanya dalam perkembangan bidang ilmu pada masa kini. Kita tidak
boleh membiarkan al-Turath al-Islami dipinggirkan daripada arus
pembangunan bidang ilmu pengetahuan sehingga ianya dianggap sebagai
kelas kedua (second class) atau kurang penting berbanding ilmu sains
moden. Dalam pandang alam Islami tradisional, pembahagian ilmu kepada
fard al-‘ain dan fard al-kifayah adalah suatu asas yang perlu
dipertahankan. Ia akan meletakkan ilmu-ilmu asas agama seperti ilmu
Aqidah Islam, Fiqh Islam dan Tasawwuf Islam di tempatnya iaitu sebagai
ilmu yang paling perlu dipelajari sebagai seorang muslim, sebelum
ilmu-ilmu lain.
Di samping penguasaan terhadap asas-asas ajaran
Islam, para ilmuwan Islam juga sewajaranya mampu berinteraksi dengan
perkembangan semasa secara Islamik, iaitu memerhatikan sesuatu isu dan
menilainya dengan neraca ajaran Islam yang jelas. Maka, kita
bertanggungjawab juga terhadap al-Turath al-Islami dalam rangka untuk
mempertahankan-nya dan memelihara kesinambungan perkembangannya, agar
ianya tidak terhenti pada zaman kita semata-mata, namun ianya terus
dapat diwarisi oleh para ilmuwan Islam pada masa akan datang.
Di antara tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaiknya terhadap al-Turath al-Islami (karya warisan Islam) iaitu:
1) Al-Nasyr wa al-Tahqiq (Penyebaran dan penelitian)
2) Al-Taisir (Pemudahan)
3) Al-Khidmah (Perkhidmatan)
4) Al-Ihya’ (Penghidupan)
Justeru, Maktabah al-Ihya’ cuba menghimpunkan kemahiran untuk melakukan
tanggungjawab ini di samping melatih dan memberi bimbingan kepada
generasi baharu untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran
tertentu, bagi turut terlibat menyertai usaha pemeliharaan dan
perkembangan al-Turath al-Islami ini.
Kita telah mengambil
manfaat daripada kesungguhan para ulama’ terdahulu yang mewariskan
karya-karya ilmiah yang agung sebagai rujukan umat Islam selepas mereka
dan memeliharanya, maka kita sewajarnya melakukan perkara yang sama
untuk generasi kemudian mendapat manfaat yang sewajarnya daripada
karya-karya warisan para ulama’ Islam dalam bidang ilmu pengetahuan.
Inilah antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sekadar kemampuan
kita bersama.
Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
'Amalahullahu bi LutfiHi al-Khafiy
No comments:
Post a Comment