Friday, 26 April 2013

Budaya Membaca dan Penguasaan Ilmu-ilmu Agama





Budaya Membaca dan Penguasaan Ilmu-ilmu Agama

Perkembangan bahan bacaan pada masa kini boleh dinilai sebagai sesuatu yang sangat positif. Bahkan, kunci perkembangan tamadun Islam suatu ketika dahulu adalah pada perkembangan bidang pengetahuan umat Islam. Kita dapati, di samping penulisan kitab-kitab yang berkembang, proses penterjemahan karya-karya asing juga berkembang pesat. Maka, muncullah pelbagai bentuk perpustakaan-perpustakaan (maktabah) yang bukan sahaja menjadi tempat penyimpanan bahan-bahan rujukan, tetapi juga menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (RnD) bidang keilmuan.

Suatu perkembangan yang sangat positif juga adalah, penerbitan buku-buku agama dalam pelbagai bahasa dan boleh didapati dengan mudah di pasaran. Kitab-kitab atau penulisan (tashonif) dalam bidang agama suatu ketika dahulu bukanlah suatu perkara yang mudah untuk didapati, bahkan para ulama’ perlu menyalinnya semula untuk mendapatkan salinan kitab-kitab tersebut. Ianya diambil daripada ahli ilmu, oleh ahli ilmu juga. Namun kini, sesiapa sahaja mampu memiliki Kutub Sittah (enam kitab hadis yang utama iaitu: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Jami’e al-Tirmizi, Sunan Abi Daud, Sunan al-Nasa’ie dan Sunan Ibn Majah).

Bahkan, sebahagian orang awam yang tidak pernah mengkhatamkan sebarang kitab asas mazhab al-Syafi’e seperti Matan al-Ghayah wa al-Taqrib, Muqoddimah Hadramiyyah, Safinah al-Naja dan sebagainya di hadapan mana-mana ulama’, namun sudah memiliki kitab al-Umm karangan Imam al-Syafi’e, bahkan membacanya walaupun dalam bahasa terjemahan. Lalu, dia menyangka, dia sudah lebih  bermazhab al-Syafi’e berbanding para Fuqaha’ Syafi’iyyah yang lain. Ini adalah salah satu bentuk kehilangan adab dalam bidang ilmu pengetahuan.  

Proses Sebenar Penguasaan Ilmu-ilmu Agama

Budaya membaca sememangnya suatu amalan yang mulia, secara umumnya. Namun, jika melibatkan kitab-kitab atau bahan bacaan melibatkan ilmu-ilmu agama yang mendalam, seseorang memerlukan asas yang kuat sebelum terjun ke dalamnya. Ini kerana, dalam penguasaan ilmu dan kefahaman, membaca semata-mata bukanlah suatu proses yang sempurna. Kefahaman terhadap agama dan ilmu-ilmunya memerlukan kepada proses yang lebih daripada sekadar membaca semata-mata.

Tanpa menafikan kepentingan membaca, namun ia semata-mata tidak membawa kepada penguasaan kefahaman agama dan ilmu-ilmunya secara sempurna, bahkan boleh membawa kepada salah faham tentang sesuatu ilmu dan tidak memahami tradisi para ulama’ dalam penguasaan terhadap ilmu-ilmu agama tersebut. Ia justeru akan membawa kepada kehilangan adab dalam lapangan ilmu agama.

Imam al-Tabrani r.a. meriwayatkan sebuah hadis, sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Majma’ al-Zawa’id dan Imam Ibn Hajar al-Asqolani dalam Fath al-Bari, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ ، إِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ ، وَالْفِقْهُ بِالتَّفَقُّهِ

Maksudnya: “Wahai manusia, sesungguhnya ilmu itu dengan pembelajaran dan fiqh (kefahaman) itu dengan proses tafaqquh.” Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban dalam Raudhah al-‘Uqala’.

Seterusnya, Imam Ibn Hajar al-Asqolani menjelaskan maksud hadis-hadis sebegini dalam kitab Fath al-Bari:

وَالْمَعْنَى لَيْسَ الْعِلْمُ الْمُعْتَبَرُ إِلَّا الْمَأْخُوذَ مِنَ الْأَنْبِيَاءِ وَوَرَثَتِهِمْ عَلَى سَبِيلِ التَّعَلُّمِ

Maksudnya: “Adapun maknanya, bahawa bukanlah sesuatu ilmu yang muktabar itu melainkann diambil daripada para nabi dan para pewarisnya (para ulama’) dengan cara belajar (ta’allum).

Maka, proses belajar (ta’allum) yang melibatkan antara guru dan murid adalah suatu proses yang perlu dalam penguasaan ilmu-ilmu agama secara khusus, kerana demikianlah kaedah yang muktabar yang menjadi tradisi para ulama’ sejak zaman berzaman. Sebarang usaha menguasai ilmu agama tanpa proses pembelajaran ataupun menuntut ilmu ini, di bawah bimbingan seorang ulama’ yang sempurna keilmuannya, maka ianya akan membawa kepincangan dan kehilangan adab dalam ilmu.

Imam Ibn Badis pernah menyebut:

وإنما العلم بالتعلم، فلن يكون عالمًا إلا مَن كان متعلمًا، كما لن يَصْلُحَ معلمًا إلا مَن قد كان متعلمًا

Maksudnya: Sesungguhnya ilmu itu dengan pembelajaran. Seseorang tidak akan menjadi alim melainkan dia pernah menjadi penuntut ilmu (muta’allim). Begitu juga, seorang guru (mu’allim) tidak layak demikian melainkan dia pernah sebagai seorang penuntut ilmu.

Maka, syarat penguasaan ilmu agama dan kefahamannya adalah melalui proses pembelajaran. Oleh itu, hendaklah seseorang itu menjadi seorang pelajar atau penuntut ilmu lalu berguru dengan guru atau seorang ulama’ yang dipercayai, untuk mendapatkan kefahaman agama daripada beliau. Proses menjadi murid atau pelajar ini turut dijelaskan dalam hadis riwayat Imam Ibn Majah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَفْضَلُ الصَّدَقَةِ أَنْ يَتَعَلَّمَ الْمَرْءُ الْمُسْلِمُ عِلْمًا ، ثُمَّ يُعَلِّمَهُ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ

Maksudnya: “Sebaik-baik sedekah itu ialah, seseorang itu mempelajari ilmu, kemudian dia mengajar saudara seislamnya.

Rukun-rukun Pembelajaran Ilmu-ilmu Agama

Proses pembelajaran yang sempurna melibatkan tiga rukun yang utama, seperti tarbiah juga. Di samping ciri-ciri murid, ciri-ciri seorang ulama’ yang mengajar juga sangat dititikberatkan. Sebahagian ulama’ menjelaskan rukun-rukun proses pembelajaran adalah:

Pertama: Penuntut ilmu yang jujur dan kuat semangat. Antara ciri-ciri pelajar yang baik adalah, mempunyai niat yang ikhlas untuk belajar, sangat berkeinginan kepada ilmu, bersungguh-sungguh, beradab dalam menuntut ilmu, cukup bekalan dalam menuntut ilmu, mendapat bimbingan guru dan tempoh masa yang panjang.

Kedua: Guru atau ahli ilmu yang rabbani dan menguasai ilmu sebaiknya. Antara ciri-ciri guru tersebut adalah, pernah melalui proses pembelajaran di bawah bimbingan ulama’ dan manhaj pengajian yang diakui, diakui penguasaan ilmunya oleh para gurunya, mendapat izin untuk menyampaikan ilmu-ilmu agama, mengamalkan ilmu tersebut, berakhlak mulia dan sebagainya. Ciri-ciri ulama’ tersebut disimpulkan sebagai ulama’ rabbani sebagaimana disebut oleh Imam Ibn al-Arabi , iaitu, berilmu, mengajar dan mengamalkannya.

Ketiga: Manhaj yang sempurna dalam proses pembelajaran, seperti sistem Madrasah, Rubat, Zawiyah, pondok, Ma’ahad dan sebagainya. Kaedah dan sistem pembelajaran sudah tentu akan berubah dari masa ke semasa, tetapi selagimana ianya masih meneruskan dan mempertahankan kaedah-kaedah warisan, maka ianya masih muktabar. Penyusunan mata pelajaran dan ilmu-ilmu juga sangat penting dalam kaedah pembelajaran.

Maka, bagi mereka yang ingin menguasai bidang ilmu-illmu agama, walaupun asas, tetapi secara sempurna, wajar mengambil langkah yang sempurna dengan melalui jalan menuntut ilmu yang baik. Hanya sanya, dengan kaedah menuntut ilmu dan pembelajaran, seseorang boleh memahami agama dengan baik.

Budaya Membaca yang Bermanfaat dalam Ilmu Agama

Adapun budaya membaca, maka, ianya adalah penyempurnaan kepada proses pembelajaran tersebut, iaitu sebagai langkah tambahan bagi pengukuhan ilmu murid. Itupun, murid atau penuntut ilmu masih perlu mendapat bimbingan guru dalam proses membaca tersebut.

Jika kita lihat bahan bacaan dalam bidang agama, kita dapati ada dua jenis iaitu:

Pertama: Buku-buku yang membahaskan kefahaman agama secara mudah untuk orang awam. Maka, buku-buku begini sangat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat. Ianya boleh dibaca oleh sesiapa sahaja untuk mendapat maklumat pendahuluan tentang agama.

Kedua: Buku-buku ilmiah yang membahaskan tentang ilmu-ilmu agama secara mendalam. Buku-buku sebegini perlu dipelajari oleh seseorang dan dibaca dengan bimbingan seorang ulama’, kecuali bagi mereka yang sudah menguasai kefahaman asas terhadap ilmu-ilmu tersebut, melalui proses pendidikan dan pengajian yang lalu. Bahan bacaan sebegini hanya sesuai bagi mereka yang sudah mempunyai latar belakan pengajian ilmu agama dan asas-asas kefahaman agama yang sahih, agar bahan bacaan tersebut tidak mendedahkannya kepada kepincangan dalam kefahaman agama.

Kita perlu tahu pelbagai ruang kegelinciran dalam bahan bacaan tanpa bimbingan. Samada, kita salah memahami ungkapan penulis, ataupun berlaku kesalahan dalam penterjemahan, ataupun bercampurnya kefahaman yang muktabar dengan yang marjuh (yang tidak kuat) dalam sesuatu penulisan, sehingga kita akhirnya keliru terhadap maklumat yang disediakan, lalu berpegang dengan kefahaman yang salah.

Justeru, wajar bagi para pembaca dan para penuntut ilmu untuk muzakarah (berbincang) dengan para ahli ilmu yang dipercayai, dalam proses pembacaan terutamanya melibatkan ilmu-ilmu agama yang ilmiah dan mendalam. Kita perlu fahami bahawasanya, sudah menjadi nasihat para salaf agar kita menyelidiki dari mana kita ambil kefahaman ilmu agama, bukan dari sebarang sumber, apatah lagi daripada bahan bacaan yang terdedah kepada seribu satu kesalahan. Bahan bacaan membantu kepada penyempurnaan ilmu dan penambah maklumat, tetapi ianya tidak menjadi sumber kepada asas kefahaman dan pintu memasuki ilmu secara permulaan.

Wallahu a’lam…

Al-Faqir al-Haqir ie Rabbi al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy



No comments:

Post a Comment