Wednesday, 24 April 2013

Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami


Peguasaan terhadap al-Turath al-Islami
 
Dalam menghadapi cabaran bidang ilmu semasa, suatu perkara yang sangat penting adalah tentang pemeliharaan dan penguasaan terhadap al-Turath al-Islami. Kita sering melihat fenomena di mana ramai para ilmuwan yang mendapat pengajian daripada institusi pengajian Barat sering membawa pemikiran-pemikiran yang rosak dan bersifat melawan kefahaman muktabar ajaran Islam yang asas.

Ini kerana, mereka menguasai bidang pengetahuan terutamanya sainsn moden tanpa memahami ajaran Islam dengan baik. Lalu, nilai-nilai sekular dalam kebanyakan ilmu-ilmu moden yang disemai oleh para ilmuwan dan falsafah Barat mula memberi kesan kepada pemikiran mereka. Bertolak daripada inilah, atas nama ilmu pengetahuan, golongan ini menyebarkan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan prinsip murni ajaran Islam yang muktabar.

Antara bentuk kepincangan pemikiran yang cuba diketengahkan oleh golongan ilmuwan sekular ini adalah:

• Sekularisme: Iaitu, pemisahan antara peranan keagamaan daripada perkara-perkara keduniaan.

• Liberalisme: Iaitu, menjadikan akal sebagai suatu ukuran yang bebas dalam menilai sesuatu tanpa campur tangan penilaian keagamaan.

• Penafsiran Hermeneutik: Iaitu, agenda penafsiran semula teks-teks wahyu agar ianya sesuai dengan perkembangan semasa tanpa merai penafsiran muktabar yang sudah diterima oleh para ulama’ Islam secara sepakat. Ia juga ada kaitan dengan penafsiran Kontekstual yang membataskan teks wahyu kepada sosio-historikalnya, iaitu suasana dan sejarah di mana teks tersebut diturunkan. Dengan demikian, banyak ajaran Islam cuba dibataskan kepada kesesuaian masa tertentu lalu mengganggap ianya sudah tidak sesuai pada masa kini.

• Menolak Autoriti Institusi Ulama’: Iaitu, mereka meletakkan diri mereka sebaris dengan para ulama’ termasuk para ulama’ salaf untuk melayakkan diri mereka berbicara tentang kefahaman agama dan menafsirkan semula teks-teks agama dalam rangka ingin menyesuaikan ajaran Islam dengan perkembangan semasa, menurut sangkaan mereka.

Kepincangan-kepincangan sebegini disebut oleh Dr. Syed Naqib al-Attas sebagai kehilangan adab. Sedangkan, kita wajar menguasai prinsip-prinsip ajaran Islam yang muktabar sepanjang zaman lalu barulah menilai perkembangan semasa sesuai dengan neraca keislaman yang jelas. Oleh yang demikian, Dr. Ali Jum’ah menekankan tentang penguasaan terhadap alat-alat penting yang diperlukan untuk memahami kaedah berinteraksi dengan al-Mauruth al-Islami (karya warisan Islam) supaya seseorang ilmuwan Islam tu menguasai al-Namuzaj al-Ma’rifi al-Islami ataupun Dr. Syed Naqib al-Attas menyebutnya sebagai Islamic worldview dalam buku beliau berjudul Prolegomena to the Metaphysics of Islam.

Maka, bagaimana berinteraksi dengan al-Turath al-Islami itu sangat penting bagi membentuk Islamic Worldview (pandangan alam Islami) dalam diri para ilmuwan Islam, agar sejauhmana sekalipun mereka menguasai sains moden, mereka akan menguasainya sebagai muslim yang mana Islamic Worldview akan menjadi penapis intelek terhadap sebarang nilai anti-Islam dalam bidang ilmu-ilmu moden Barat.

Dr. Ali Jum’ah memberi definisi terhadap al-Turath al-Islami (Islamic Legacy) sebagai: produk atau karya kemanusiaan (al-Muntaj al-Basyari) yang diwarisi secara lisan mahupun secara tulisan, bagi umat Islam yang berusia lebih seratus tahun. [Al-Thariq ila Al-Turath al-Islami, m/s: 19]

Para ilmuwan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap al-Turath al-Islami ini, terutamanya dalam perkembangan bidang ilmu pada masa kini. Kita tidak boleh membiarkan al-Turath al-Islami dipinggirkan daripada arus pembangunan bidang ilmu pengetahuan sehingga ianya dianggap sebagai kelas kedua (second class) atau kurang penting berbanding ilmu sains moden. Dalam pandang alam Islami tradisional, pembahagian ilmu kepada fard al-‘ain dan fard al-kifayah adalah suatu asas yang perlu dipertahankan. Ia akan meletakkan ilmu-ilmu asas agama seperti ilmu Aqidah Islam, Fiqh Islam dan Tasawwuf Islam di tempatnya iaitu sebagai ilmu yang paling perlu dipelajari sebagai seorang muslim, sebelum ilmu-ilmu lain.

Di samping penguasaan terhadap asas-asas ajaran Islam, para ilmuwan Islam juga sewajaranya mampu berinteraksi dengan perkembangan semasa secara Islamik, iaitu memerhatikan sesuatu isu dan menilainya dengan neraca ajaran Islam yang jelas. Maka, kita bertanggungjawab juga terhadap al-Turath al-Islami dalam rangka untuk mempertahankan-nya dan memelihara kesinambungan perkembangannya, agar ianya tidak terhenti pada zaman kita semata-mata, namun ianya terus dapat diwarisi oleh para ilmuwan Islam pada masa akan datang.

Di antara tanggungjawab yang perlu dilakukan sebaiknya terhadap al-Turath al-Islami (karya warisan Islam) iaitu:

1) Al-Nasyr wa al-Tahqiq (Penyebaran dan penelitian)

2) Al-Taisir (Pemudahan)

3) Al-Khidmah (Perkhidmatan)

4) Al-Ihya’ (Penghidupan)

Justeru, Maktabah al-Ihya’ cuba menghimpunkan kemahiran untuk melakukan tanggungjawab ini di samping melatih dan memberi bimbingan kepada generasi baharu untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran tertentu, bagi turut terlibat menyertai usaha pemeliharaan dan perkembangan al-Turath al-Islami ini.

Kita telah mengambil manfaat daripada kesungguhan para ulama’ terdahulu yang mewariskan karya-karya ilmiah yang agung sebagai rujukan umat Islam selepas mereka dan memeliharanya, maka kita sewajarnya melakukan perkara yang sama untuk generasi kemudian mendapat manfaat yang sewajarnya daripada karya-karya warisan para ulama’ Islam dalam bidang ilmu pengetahuan. Inilah antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sekadar kemampuan kita bersama.

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
'Amalahullahu bi LutfiHi al-Khafiy

Program Ilmuwan Islam Profesional


Program Ilmuwan Islam Profesional

Dalam rangka untuk membina potensi ilmwan Islam yang holistik dan profesional di samping mempunyai paradigma Islami (pandangan alam Islam) yang jelas, maka, beberapa subjek asas dalam bidang ilmu-ilmu agama akan diajarkan kepada para peserta secara berperingkat-peringkat dalam tempoh masa yang tertentu, tertakluk kepada kesesuaian masa para peserta. Ada dua bentuk penguasaan ilmu bagi para peserta iaitu:-

Penguasaan Asas:


Tahap Pertama – Tahap Ketiga

Penguasaan Holistik:

Tahap Keempat – Tahap Kelima

Pengajian-pengajian Mengikut Tahap

Tahap Pertama

SFA 001- Ilmu Aqidah Islam Asas
SFA 002- Ilmu Fiqh Islam Asas
SFA 003- Ilmu Tasawwuf Islam Asas

Tahap Kedua

SFK 001- Ilmu Mantik Asas
SFK 002- Ilmu Sirah Asas
SFK 003- Ilmu Bahasa Arab Asas

Tahap Ketiga

SFK 004- Ilmu-ilmu al-Qur’an Asas
SFK 005- Ilmu Usul Fiqh Asas
SFK 006- Ilmu Mustolah Hadis Asas

Tahap Keempat

SFK 007- Ilmu Falsafah Islam
SFK 008- Ilmu Perbandingan Agama
SFK 009- Ilmu Tasawwuf Amali

Tahap Kelima

SFK 010- Ilmu Qawa’id Fiqhiyyah Asas
SFK 011- ِAl-Siasah Al-Syar'iyyah
SFK 012- Ilmu Perbandingan Firqah dalam Islam

Buku "Petunjuk yang Jelas, dalam Tafsir Surah al-Ikhlas"



Terkini: Buku "Petunjuk yang Jelas, dalam Tafsir Surah al-Ikhlas"
 
Buku ini disusun dalam menggabungkan dua manhaj tafsir yang utama iaitu tafsir bi al-ma'thur (penafsiran salaf) dan tafsir isyari (penafsiran ulama' sufi muktabar) dengan pendekatan mudah dan ringkas termasuk membahaskan isu-isu semasa dalam kerangka perbahasan makna-makna yang terkandung dalam surah al-Ikhlas.

Ia mempunyai dua bahagian. Bahagian pertama membahaskan tentang latar belakang penurunan surah al-ikhlas, kelebihan-kelebihan surah Al-Ikhlas berdasarkan hadis-hadis dan penerangan para ulama' serta amalan para salaf dan ulama' berkenaan surah al-ikhlas.

Bahagian kedua membahaskan tentang penjelasan dan tafsiran surah al-Ikhlas dengan gabungan dua manhaj utama yang disebutkan tadi (tafsir bi al-ma'thur dan tafsir isyari) yang merujuk kepada tiga buah kitab tafsir yang utama iaitu Tafsir al-Thabari, Mafatih al-Ghaib (Tafsir Imam al-Razi) dan Tafsir al-Bahr al-Madid (oleh Imam Ibn 'Ajibah). Ia turut memuatkan perbahasan tentang isu-isu semasa dalam konteks makna surah al-ikhlas.

Antara isu-isu yang turut dibahaskan adalah:

- Keistimewaan dan amalan terhadap Surah Al-Ikhlas.

- Asas-asas aqidah Islam iaitu Tauhid dan Tanzih.

- Penggunaan kalimah Allah kepada Orang Bukan Islam

- Perbahasan Ringkas tentang Kepincangan Pemisahan antara Tauhid Uluhiyyah dengan Tauhid Rububiyyah.

- Jawapan terhadap Kristianiti dan Usaha Membendung kristianisasi.

Dan sebagainya,

Harga: RM 12 termasuk bayaran pos

Penghantaran Setiap Hari Khamis