Umat Islam dan Al-Turath Al-Islami
Ilmu-ilmu agama yang diwarisi oleh kita
sebagai generasi terkemudian (khalaf), disampaikan kepada kita oleh para
ulama’ generasi terdahulu, melalui karya-karya keilmuan warisan mereka, yang
dikenali dan disebut sebagai al-Turath al-Islami. Kefahaman terhadap
warisan keilmuan ulama’ Islam adalah sangat penting kerana tanpa kefahaman
(secara sahih), karya-karya tersebut tidak mempunyai nilai warisannya pada generasi
seterusnya.
Sebagaimana yang kita fahami bahawa,
kita memahami agama melalui para ulama’, lalu para ulama’ membahaskan kefahaman
agama Islam bersumberkan dua sumber wahyu iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah, lalu
mengembangkan dan memeliharannya dengan metodologi dan peralatan intelektual
agar generasi kemudian lebih mudah berinteraksi dengan sumber wahyu dan
memahaminya dengan baik.
Warisan Keilmuan Islam atau Al-Turath
Al-Islami bukan suatu perkara yang bersifat terbatas kepada peringkat masa
tertentu tetapi ianya adalah suatu sumber dan peralatan bagi memastikan ajaran
Islam yang sempurna dapat dipraktikkan sepanjang zaman. Perkembangan corak
hidup, budaya dan cabaran semasa menyebabkan umat Islam perlu menghadapinya
dengan acuan Islam yang sesuai dengan zaman. Justeru, al-Turath al-Islami
bukan satu warisan silam yang menjadi bahan sejarah, tetapi panduan-panduan
yang praktikal bagi generasi masa kini berinteraksi dengan kehidupan sebagai
muslim dan berinteraksi dengan ajaran agama sebagai seorang yang hidup pada
masa kini.
Dr. Ali Jum’ah mendefinisikan al-Turath
al-Islami sebagai suatu produk atau hasil kemanusiaan (al-muntaj
al-basyari) yang dipindahkan kepada ummah secara lisan dan tulisan yang
berusia lebih seratus tahun dari sudut ukuran masa. Warisan Keilmuan Islam ini
mengandungi dua perkara utama iaitu:
Pertama: Natijah pemikiran
Kedua: Realiti sejarah
Adapun natijah pemikiran adalah buah
daripada sumber agama yang berbentuk wahyu yang dikenali atau disebut sebagai
“nas” (teks). Maka, natijah pemikiran (nataj fikriy) merangkumi idea, pemikiran,
ilmu-ilmu, kaedah-kaedah, hukum-hukum dan pengalaman praktikal para ulama’. Ia
suatu Mihwar ketamadunan Islam yang mana dibina atas panduan wahyu. Al-Mihwar
yang dimaksudkan adalah ilmu-ilmu yang berkhidmat kepada nas wahyu tersebut
yang mana ianya disusun bagi berkhidmat kepada wahyu sedangkan wahyu pula
menjadi neraca kepada ilmu-ilmu tersebut dan rujukan.
Kita dapati sepanjang sejarah, di sana
ada lebih sejuta masalah berkenaan fiqh dan hukum hakam sedangkan bilangan
ayat-ayat Al-Qur’an yang berkenaan dengan hukum-hakam (ayaat al-ahkam)
sangat terbatas jika dirujuk secara langsung. Al-Qur’an yang bersifat dengan
keluasan kefahamannya dapat terus dirujuk dengan ilmu-ilmu yang mengembangkan
lagi perbahasan ayat-ayat hukum dalam al-Qur’an, di samping kaedah istinbah
yang disusun oleh para ulama’ bagi memudahkan proses ijtihad (berusaha menggali
atau menjelaskan sesuatu hukum) bagi para ulama’.
Begitu juga, banyak usaha dilakukan
dalam memelihara nas wahyu dan usaha untuk menjaga kefahaman agama daripada sumber
wahyu tersebut. Kita lihat pada zaman Saidina Abu Bakar r.a. lagi sudah mulanya
usaha memelihara al-Qur’an dengan menghimpunnya dalam satu naskhah. Kemudian,
Saidina Uthman r.a. menjadikan satu versi sahaja al-Qur’an dalam dunia Islam
supaya tidak timbul kekeliruan dalam masyarakat. Bahkan, penulisan al-Qur’an
semakin diperbaiki dan diperkemaskan sehinggalah berbentuk seperti hari ini,
bahkan ada yang mempunyai warna tertentu untuk memudahkan mengenal pasti
kedudukan hukum tajwid dan sebagainya.
Di samping natijah pemikiran dan
metodologi yang disusun oleh para ulama’ dalam rangka memudahkan usaha
menjadikan nas sebagai rujukan dan acuan dalam setiap lapangan kehidupan, suatu
yang perlu dipentingkan juga adalah kefahaman tentang realiti. Menurut Dr. Ali Jum’ah, al-Waqi’e atau
realiti terdiri daripada lima alam atau dimensi iaitu, alam al-ash’ya’
(kebendaan), alam al-ashkhash (perorangan), alam al-rumuz
(simbol), alam al-afkar (pemikiran) dan alam al-ahdath (peristiwa
atau kejadian).[1]
Maka, seorang ilmuwan Islam akan
memastikan interaksi keilmuan warisan itu sentiasa harmoni dengan alam-alam
tersebut (realiti) di bawah naungan nas dan pedomannya, dan dengan ikatan kuat
terhadap nas tersebut. Ini kerana, nas (wahyu) adalah suatu neraca atau acuan
kepada tamadun, yang mana ia mempunyai peranannya untuk berinteraksi dengan
alam-alam tersebut. Dalam erti kata yang lain, jika seseorang ilmuwan Islam itu
jika berinteraksi dengan realiti, maka dia akan meletakkan nas sebagai kaca
matanya.
Ada beberapa perkara perlu dikuasai bagi berinteraksi dengan al-Turath iaitu:
1) Bahasa Arab
2) Ijma’
3) Maqasid Kulliyah lil Syari’ah (Tujuan Sejagat bagi Syariah Islam)
4) Al-Namuzaj al-Ma’rifi (Paradigma Islam):
5) Al-Qawa’id al-Fiqhiyyah
Secara kesimpulannya, warisan dalam
Islam itu ada dua iaitu sumber wahyu dan natijah pemikiran. Adapun natijah
pemikiran maka ianya terbahaagi kepada pemikiran dan realiti iaitu alam yang
lima tadi (kebendaan, perorangan, simbol, pemikiran dan peristiwa).
[1] Dr. Ali Jum’ah, Al-Thoriq ila
al-Turath al-Islami, Nahdhah Misriyyah, Mesir, Cetakan Kelima, 2010,
m/s: 21-23.